Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Doa Kesyukuran sempena Puja Usia DYTM
30/06/2025

 


Sesungguhnya kami dan seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) merafakkan rasa syukur di atas nikmat tuhan yang telah mengurniakan kebajikan kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Sesungguhnya kami benar-benar memohon supaya tuhan kami mengurniakan nikmat yang sempurna lagi menyeluruh kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah dan ahli kerabat Duli Yang Teramat Mulia khasnya nikmat Islam dan nikmat iman, nikmat taufik hidayah, nikmat sihat afiat, nikmat lanjut usia, nikmat kekuatan, nikmat hati terang dan fikiran tenang, nikmat perlindungan dan pemeliharaan daripada dosa.

Demikian antara petikan doa yang dipohonkan pada Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik Ke-42 Tahun bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini.

Dalam doa yang dipanjatkan seterusnya memohon, “Ya Allah lindungi agama kami, lindungi raja kami, lindungi ahli kerabat baginda dan sekalian rakyat jelata daripada segala keburukan dan kejahatan, sama ada berupa bala bencana atau malapetaka, ancaman-ancaman dan hasutan-hasutan, pendeknya segala macam keburukan yang tidak diingini".

Majlis yang diadakan oleh JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya itu dihadiri oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku tetamu khas majlis.

Turut hadir, Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai yang dikepalai oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain, diikuti dengan Doa Khas yang dibacakan oleh Imam masjid itu, Awangku Muhammad Rafiuddin bin Pengiran Ramle.

Setelah itu, majlis kemudian diakhiri dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

Majlis Doa Kesyukuran berkenaan diadakan sebagai tanda merafakkan syukur dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar melimpahkan kurnia kesihatan, panjang umur dan kesejahteraan Kehadapan Majlis DYTM dan juga kerabat diraja yang lain.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto